வெள்ளி, 11 டிசம்பர், 2009

KENYATAAN PRESIDEN GPMS AMAT DANGGAL

Hari ini saya sempat baca tulisan En. Jais yang merupakan presiden GPMS di akhbar Kosmo. Menurutnya, peluang mengambil 12 mata pelajaran akan merugikan pelajar Melayu dan menguntungkan pelajar bukan Melayu.

Saya hairan bagaimana seorang presiden di peringkat kebangsaan boleh mengeluarkan kenyataan terburu-buru seperti ini. Sebagai seorang presiden beliau boleh membuat tuntutan untuk lebih banyak mata pelajaran dibenarkan kepada pelajar-pelajar Melayu jika ia mendapati sekatan kepada 10 mata pelajaran sahaja tidak mencukupi. Dalam era globelisasi yang mencabar dan memerlukan kemahiran teknologi maklumat yang tinggi, saya berpendapat pengiktirafan kepada 10 mata pelajaran sahaja tidak mencukupi. Oleh itu, En. Jais perlu fokuskan perjuangan persatuannya untuk membuat tuntutan kepada lebih banyak mata pelajaran.

Sebaliknya, meluahkan perasaan cempuru kepada tuntutan bukan Melayu hanya mendedahkan penjumudan fikiran beliau. Aspek-aspek yang meliputi proses pembelajaran hendaklah adil kepada semua pihak. Apabila timbang-tara condong ke pihak yang memerintah sahaja, ia akan memberi ancaman kepada keamanan yang dinikmati di negara ini.

En. Jais perlu fikir aspek kelonggaran yang diberi selama ini. Apabila kebebasan yang diberi selama ini ditarik balik, sudah tentu ia akan memberi kejutan kepada sesuatu pihak. Ambil contoh perlaksanaan dasar bahasa penghantar untuk subjek Matematik dan Sains yang masih dilaksanakan sekarang ini. Ia telah beri kejutan kepada banyak pihak. Pihak-pihak tersebut membantah perlaksanaan dasar itu. Apakah implikasinya? Begitu banyak perhimpunan, debat dan seumpamanya dianjurkan oleh pihak-pihak tersebut. Reaksi yang sama ditunjukkan oleh kami sekarang ini.

Apabila En. Jais memberi data berhubung peratusan pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil dan Kesusasteraannya, ia secara langsung bercanggah dengan pendiriannya sendiri. Beliau berkata kurang dari satu peratus calon yang mengambil subjek-subjek ini. Andaikan bahawa data ini benar; maka timbul persoalan bagaimana peratusan yang sebegini kecil boleh memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar Melayu?

En. Jais perlu sedar bahawa tuntutan kami bukan tambahan kepada hak yang sedia ada. Ia hanya satu desakan untuk memulangkan balik apa yang dirampas. Katakan salah sebuah kerusi yang diduduki oleh ahli keluarga kamu diminta dikosongkan oleh pemandu bas. Apakah reaksi kamu sebagai ketua keluarga? Kamu akan membantah bukan? Itulah yang kami lakukan. Adakah itu salah?

Pendirian En. Jais hanya boleh diterima jika tiba-tiba kami mendesak kerajaan supaya menjadikan Bahasa Tamil sebagai bahasa rasmi di negara ini. Itu bukanlah apa yang kami tuntut. Ia sama seperti merampas kerusi keluarga lain yang sudah diduduki.

Dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dan komen En.Jais langsung tidak masuk akal apabila begitu banyak subjek ditawarkan dalam SPM tetapi sekatan dikenakan untuk 10 subjek sahaja. Kenapa perlu ada lebih 100 subjek peperiksaan, sedangkan hanya 10 subjek sahaja yang dibenarkan kepada calon sekolah. Ini hanysa sama seperti mengenakan catuan untuk menikmati sesuatu kekayaan sedangkan wujud tawaran yang begitu lumayan. Oleh itu, tuntutan kami secara tidak langsung akan memberi sumbangan kepada semua pihak di negara ini. Jadi, En. Jais sepatutnya menyokong perjuangan kami.

Dunia tidak akan menjadi gelab jika En. Jais seorang yang memejam mata. Walaupun  bahasa Tamil dianggap sebagai hak yang sensitif oleh masyarakat India, ia masih terbuka kepada semua calon Malaysia. Tidak sesiapa yang boleh melarang daripada mengambil mata pelajaran ini. Hakikatnya, sudah ada ramai belajar yang merentasi sempadan perkauman dan lulus dengan jayanya dalam mata pelajaran ini. Begitu juga tidak ada sekatan untuk Bukan Melayu daripada mengambil subjek-subjek seperti Tamadun Islam, Tasawuf, Usuludin dan sebagainya. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah bilangan mata pelajaran yang diiktiraf oleh kerajaan kepada sesuatu calon.

Dengan itu, sebagai presiden bagi pertubuhan akademik, saya minta En. Jais menunjukkan kewibawaan sebagai seorang yang terdidik.

 

1 கருத்து:

  1. En Jais bukalah mata kamu,minda kamu.Janganlah saja keluarkan pandangan hanya untuk mengembirakan pihak-pihak tertentu. Apakah salahnya kalau pelajar Melayu mengambil 12 mata pelajaran. Tak tahukah kamu ia akan menguntungkan dan menjamin masa depan yang cerah kepada mereka? Apakah salahnya jadikan pelajar Melayu rajin dan cerdik daripada menjadikan mereka malas dan hanya mengharapkan bantuan.

    பதிலளிநீக்கு